Baca dari akhbar Utusan Malaysia - hari ini 26 Januari 2012. Sememangnya ia suatu yang penting dan perlu diberikan perhatian yang serius. SUATU YANG SUKAR, TAPI PERLU!
Sokong penjara mandatori sebabkan kemalangan
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong pelaksanaan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan dan kematian sekiranya ia langkah terbaik menyedarkan golongan itu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hukuman itu perlu difikirkan memandangkan masyarakat selama ini tidak mengambil endah pesanan kerajaan dan pihak berkuasa sehingga menyaksikan bilangan kes kematian masih membimbangkan setiap kali Ops Sikap pada musim perayaan.
''Saya tengok tahun lepas bila IGP (Ketua Polis Negara) sudah cuba bawa pendekatan menyedarkan rakyat, merayu, mendidik, jumlah kemalangan dan kematian tidak menurun.
"Jika itu (hukuman penjara) boleh menurunkan bilangan kematian di jalan raya, saya rasa kita tiada pilihan kerana usaha selama ini tidak berhasil," katanya kepada pemberita selepas selepas menghadiri Program Belia Anti Jenayah di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang baru-baru ini menyarankan pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut.
Hishammuddin menambah, penggubalan undang-undang penjara mandatori itu perlu dirujuk serta dilaksanakan oleh Pejabat Peguam Negara dan sistem kehakiman sedia ada.
"Kalau sekiranya undang-undang itu dapat dipinda dengan mengambil kira hukuman yang lebih berat, maka pihak polis hanya melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa," katanya.
Kalau tidak dilaksanakan hari ini, bila lagi? Setiap kali membaca akhbar, ada-ada saja berita kemalangan di sana-sini. Kadang-kadang, air mata kita akan menitis melihat seorang ibu atau bapa tua yang kehilangan anak kesayangan. Ada isteri yang keseorangan kerana kehilangan suami dalam tragedi kemalangan. Fikir dan reningkanlah.